Sambutan Magahau 2009 ini adalah yang pertama kali sejak sambutan magahau terakhir yang dikatakan pernah dilakukan pada tahun 1960an. Sambutan Magahau pada 8 & 9 Julai 2009 adalah anjuran Sabah Momogun Rungus Association (SAMORA) dengan kerjasama PDK Matunggong bertujuan untuk meneruskan kebudayaan suku kaum Rungus ini.
Tuan Jelani Hamdan selaku Presiden SAMORA telah mengumumkan di dalam ucapannya bahawa sambutan Magahau akan dijadikan acara tahunan. SAMORA juga telahpun memohon kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar untuk memasukkan Magahau ke dalam kalender pelancongan negeri Sabah.
Datuk Welfred Madius Tangau yang mewakili Datuk Masidi Manjun, di dalam ucapannya di dalam majlis tersebut, menyatakan bahawa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar akan melakukan yang termampu untuk membantu SAMORA bagi menganjur Magahau pada tahun akan datang. Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, di dalam kunjungan kehormat AMT SAMORA & Jawatankuasa Penganjur Magahau ke pejabatnya sebulan sebelum sambutan magahau tersebut, memberi dorongan kepada AMT SAMORA supaya terus memelihara kebudayaan suku kaum Rungus. Beliau juga meminta AMT SAMORA agar menyediakan kertas kerja untuk pembinaan bangunan baru bagi pusat kebudayaan suku kaum Rungus di tanah yang telah digazetkan sebagai tapak kraftangan Rungus terletak di Badarag kira-kira 3km dari pekan Sikuati Kudat.
Orang ramai turut dimaklumkan di dalam majlis tersebut bahawa aktiviti minum tapai sepanjang tahun atau pada bila-bila masa selain di dalam acara magahau, 'mongulok', upacara perkahwinan, 'lumuvas' dan perayaan-perayaan lain suku kaum Rungus adalah dilarang pada masa dahulu. Perkara ini ada hubungkaitnya dengan kepercayaan pada ketika itu bahawa sesuatu perkara yang tidak baik (malapetaka) akan menimpa kampung mereka sekiranya aktiviti minum tapai dilakukan pada waktu bukan perayaan atau majlis keramaian. Mesej ini secara langsung menafikan anggapan masyarakat sekarang bahawa amalan minum tapai di luar waktu keramaian atau perayaan adalah salah satu budaya suku kaum Rungus.
Di dalam amalan suku kaum Rungus dahulu, sesuatu perayaan tidak boleh disambut tanpa ada tujuan yang ada kaitannya dengan upacara keagamaan. Oleh itu salah satu pengisian yang wajib di dalam sesuatu magahau pada masa itu ialah 'mamapak'. Mamapak yang dilakukan pada masa magahau lazimnya bertujuan untuk memohon pertolongan kepada yang disembah bagi:
- menghindarkan perkara-perkara yang menjauhkan rezeki daripada mereka.
- menyuburkan tanah supaya tanaman mereka mengeluarkan hasil yang banyak.
- menghindarkan diri mereka daripada penyakit yang berbahaya.
- menghindarkan nasip malang daripada menimpa keluarga dan kampung mereka.
Selepas upacara keagamaan tersebut barulah sambutan magahau dilakukan. Lazimnya magahau ini dilakukan oleh satu kampung atau beberapa kampung.
Pada zaman dahulu, magahau ini hanya dilaksanakan sekali sekala iaitu 2 ke 4 kali dalam 10 tahun bergantung kepada keadaan ekonomi masyarakat di sesuatu kampung. Lazimnya magahau diadakan sekiranya masyarakat di sesuatu kampung menikmati kehidupan yang harmoni, tidak diserang penyakit dan tanaman mereka membuahkan hasil yang banyak dalam tempoh beberapa tahun. Di dalam kes ini sambutan magahau lebih mirip kepada majlis kesyukuran. Upacara mamapak yang dilakukan pada ketika itu bertujuan untuk menjadikan kehidupan mereka lebih harmoni, dihindarkan daripada penyakit berbahaya dan dikurniakan hasil tanaman yang lebih banyak. Magahau yang dilakukan selepas acara mamapak tersebut adalah tanda kesyukuran di atas kesejahteraan hidup mereka selama beberapa tahun kebelakangan.
Magahau juga diadakan sekiranya masyarakat di sesuatu kampung ditimpa masalah tanaman yang tidak menjadi untuk beberapa tahun kebelakangan atau ditimpa penyakit yang luar biasa dan tidak ada ubatnya pada masa itu atau dilanda musibah-musibah lain. Di dalam kes ini, mamapak dilakukan bagi menjadikan dunia mereka pada ketika itu lebih selamat untuk didiami dengan memohon kepada yang disembah supaya menjadikan tanah mereka lebih subur, menghindarkan dunia mereka daripada penyakit berbahaya dan menjauhkan mereka daripada musibah-musibah lain yang sedang melanda mereka pada ketika itu. Selepas upacara mamapak, magahau iaitu acara keramaian suku kaum Rungus masih juga diadakan tetapi di dalam keadaan yang sederhana sahaja memandangkan keadaan kehidupan mereka pada ketika itu yang sedang dilanda musibah.
Di antara pengisian sambutan magahau pada zaman dahulu ialah acara jamuan sepanjang tempoh magahau, pertandingan sukan, jual beli barang menggunakan sistem barter (tukar barang dengan barang) dan pertandingan gadis paling cantik di dalam kampung tersebut yang digelar gimpuhut. Di antara sukan yang dipertandingkan semasa magahau ialah:
- Mongoniw koniw
- Monuripos
- Mimpurung
Memandangkan ramai orang yang berkumpul pada waktu magahau maka pada ketika itu terdapat juga aktiviti perniagaan iaitu aktiviti jual beli barang menggunakan sistem barter. Barang-barang yang diperdagangankan lazimnya adalah barang-barang jenis gong, barangan logam lain, tembikar dan barangan lain yang dianggap sebagai harta berharga bagi suku kaum Rungus pada ketika itu. Aktiviti jual beli barangan untuk memperolehi barang-barang berharga tersebut dipanggil "mongindapu".
Pertandingan gimpuhut juga kadang-kadang dilakukan semasa magahau. Bagaimanapun, pada zaman dahulu, pertandingan gimpuhut bukanlah satu acara yang wajib diadakan. Satu lagi aktiviti yang sering berlaku semasa magahau ialah 'monuddung' atau mencari jodoh. Remaja dari kampung berdekatan yang datang berkunjung atau 'mongivas' dan juga remaja dari kampung yang menganjur sambutan magahau tersebut, mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan remaja lain yang berkumpul pada waktu itu. Ini memberi peluang kepada mereka untuk mencari jodoh dari kampung-kampung lain.
Sambutan Magahau di pekan Matunggong pada kali ini bukan sahaja disambut dengan meriah oleh suku kaum Rungus tetapi oleh pelbagai suku kaum yang lain. Ini menunjukkan konsep 1Malaysia sudahpun mula diamalkan oleh suku kaum di Sabah ini dan negara Malaysia amnya. Magahau 2009 telah diserikan lagi oleh 16 artis tempatan termasuk Adam AF, Ampal, Ridah, Clarice John Matha, John Samud, Robert Angkangon, Vincent Duan, Welly dll.
Pendek kata Magahau 2009 telah disambut dengan begitu meriah sekali. Turut diadakan ialah pendaftaran keahlian SAMORA dan upacara "mamapak" yang dilakukan oleh sekumpulan suku kaum Rungus yang masih belum beragama. Magahau 2009 telah dirasmikan oleh Datuk Welfred Madius Tangau.
Berikut adalah video yang memaparkan kemeriahan Magahau 2009 untuk tatapan ahli-ahli SAMORA yang tidak sempat menghadiri sambutan magahau tersebut. Silalah datang ke sambutan Magahau 2010.
Misamung tokou sid Magahau 2010!